Sabtu, Disember 19, 2009

Hijrah diri untuk sentiasa berprestasi lebih baik


BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Maal Hijrah 1431H pada tahun ini dalam suasana tawaduk, kesederhanaan dan penuh kerahmatan.

Sambutan ini mempunyai keunikan dan signifikan besar kepada perjuangan dan perkembangan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke hari ini.

Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah adalah satu perancangan strategik yang dijana melalui pemikiran berasaskan daya kreativiti dan inovasi melalui penyuburan tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah’, sesebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

Khaira Ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan satu ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah SAW pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira keturunan, warna kulit dan kedudukan.

Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah.

Semangat Hijrah amat bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.

Gagasan ini berteraskan kepada nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ini bermakna kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Umumnya mengetahui bahawa kita sudah 52 tahun merdeka, cabaran paling besar yang dilihat sebagai penghalang kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian kaum adalah perpaduan. Ironinya, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara. Kejayaan tidak akan datang menggolek, sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian, sekarang kita melakukan hijrah ke satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

Ini bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.

Justeru, bersamalah kita bersatu hati dan bersatu tekad. Hijrahlah diri untuk sentiasa berprestasi lebih baik walau apa peranan kita sama ada sebagai pemimpin, kerajaan mahupun rakyat.

Namun apa yang penting, kita perlu terus mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif.

Formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep wasatiyah dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkonvensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru. Ia hanya boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan dari perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Saya dan keluarga merakamkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada.

Semoga kita dapat bersama-sama meraikan sambutan Maal Hijrah ini bersama rakan kita dari pelbagai agama dan bangsa melalui semangat Hijrah yang mengutuhkan perpaduan dan mengutamakan keadilan.

Jumaat, November 27, 2009

Salam Aidil Adha


Surau Silaun Mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidil Adha

Kepada Seluruh Muslimin & Muslimat!

Khamis, November 05, 2009

Ucapan Terima Kasih...

( Gambar Pembela Rakyat )

Surausilaun mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Sapawi Hj Ahmad MP Sipitang dan YB Kamarlin Ombi ADUN Lumadan yang berkesempatan singgah dan menziarahi dua orang jemaah surausilaun yang uzur dan sakit tua pada 1hb November lalu.


Dua jemaah terlibat ialah Tuan Haji Jahari Matahir, ayahanda Sdr. Malik Hj Jahari Pengerusi Surau Kg Silaun dan Tuan Haji Lukin Yusof. Kedua-dua jemaah ini adalah generasi awal penggerak Surau Kg Silaun.


Kunjungan kedua-dua wakil rakyat sebagai tanda keprihatinan kepada ahli masyarakat. Semoga kunjungan sebegini akan diteruskan.

Rabu, November 04, 2009

Ucapan Takziah...

Takziah diucapkan kepada keluarga jemaah surau, Tuan Haji Lukin Yusof - lebih dikenali Yaki Tukang - yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11:40 malam tadi, kerana sakit tua.

Jenazah allayarham akan dikebumikan selepas solat zuhur ini di Tanah Perkuburang Kg. Buang Sayang, Nosong.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan bersama para solehin. Amin.

Ahad, Oktober 18, 2009

Penentuan arah kiblat


Kaedah melihat matahari terbenam tidak tepat

SUDAH semestinya umat Islam perlu menghadap Kaabah yang menjadi kiblat apabila mendirikan solat dan ketika dikebumikan selepas meninggal dunia.

Walaupun dengan kedudukan Kaabah di Makkah menjangkau ratusan ribu kilometer, menetapkan arah kiblat sebenarnya tidak menjadi persoalan kerana ilmuwan Islam benar-benar menguasai ilmu falak untuk menyelesaikan masalah itu sekadar berpandukan kedudukan cakerawala seperti bintang dan matahari.

Bagaimanapun, kekurangan orang Islam yang benar-benar memahami ilmu falak ketika ini menimbulkan persoalan bagaimana untuk menentukan arah kiblat yang tepat.

Ini kerana, ada umat Islam masih menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah matahari terbenam, sedangkan cara itu tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada arah matahari terbenam.

Menyedari kesilapan itu, sewajarnya umat Islam di seluruh dunia tidak lagi menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam. Malaysia sudah tidak lagi menggunakan kaedah ini, sebaliknya berpandukan ilmu falak syarie seperti yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selanjutnya baca di sini, Berita Minggu.

Selasa, Oktober 06, 2009

Jumaat, September 25, 2009

Selasa, September 22, 2009

Salam Aidilfitri 1430H



Jawatankuasa dan ahli Jemaah Surau Kg. Silaun mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1430, Maaf zahir dan batin, semoga Syawal pada tahun ini kita semua dilimpahi rahmat dan keampunan daripada Allah s.w.t


Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, Jangan pula kita lupa tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah yang sudah semestinya memelihara setiap perintah Allah dan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Berikut adalah antara kesilapan yang sering dilakukan pada Hari Raya:

(a) MENINGGALKAN IBADAH SOLAT
kita sering meninggalkan solat kerana kesibukan beraya ataupun melayan tetamu. Aturlah masa dengan bijaksana agar setiap solat dapat dijaga.

(b) MEMBUKA BATASAN AURAT
Jangan kerana ingin bergaya, kita sanggup melanggar perintah Allah untuk menutup aurat dengan sempurna. Kadangkala fesyen telah menyebabkan kita sebagai pendosa.

(c) BERSALAMAN ANTARA BUKAN MAHRAM
Matlamat tidak menghalalkan cara, silaturahim perlu dieratkan namun hukum agama jangan pula diabaikan.

Semoga Hari Lebaran kali ini menjadikan kita lebih bertaqwa, hasil didikan madrasah Ramadhan yang telah dilalui. Kita teruskan amalan baik dan mulia dalam bulan Ramadhan lalu semasa meraikan Hari Raya ini!

Jumaat, Februari 06, 2009

BILA LELAKI MENJADI DAYUS ?

Al-hadith :


ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي

يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .


Ertinya : "Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )


Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-


1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.


2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.


3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.


4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.


5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.


6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.


7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.


8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.


9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.


10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan yang sepertinya.


11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.


12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.


13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.


14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.


Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.


Mungkin kita akan berkata dalam hati :-

" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.


Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.


Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.


Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.


Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya.


Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)


Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


p/s : Diizinkan pembaca menyebarkan tulisan ini sejauh mana yang mungkin demi manfaat para lelaki yang berhasrat menjadi penghuni Syurga.