Rabu, September 21, 2011

Terima kasih!

Bagi pihak jawatankuasa Surau Kg Silaun, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma budiman yang telah merealisasikan hasrat kami memasang jubin di dewan solat surau. Hasrat ini alhamdulilah telah terkabul hasil jasa baik para dermawan.

Dewan solat Surau Kg Silaun kini sudah berjubin sepenuhnya, dan telah digunakan dengan baik semasa bulan Ramadhan dan Solat Hari Raya yang lalu.

Didoakan budi dan jasa para penderma akan diberkati Allah hendaknya dan semoga beroleh keberkatan dan kemurahan rezeki.

Insya Allah, jawatankuasa surau akan meneruskan usaha untuk menambah baik kemudahan di surau pada masa depan dengan sokongan semua pihak.

Isnin, November 15, 2010

Selamat Hari Raya Aidiladha.


Kepada semua jemaah Kg Silaun, diucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha.

Buat permulaan, cadangan jamuan bulanan yang dirancang akan bermula pada malam takbir raya pada malam 17hb nanti, Semua jemaah dijemput datang, jamuan akan disediakan oleh En. Jailani Hj Idris dan kumpulannya.

Semoga kita semua diberkati Allah sempena hari mulia ini...Amin.

Jumaat, Oktober 08, 2010

Semoga Allah Memberkati...

Alhamdulilah, majlis doa selamat mendoakan kesejahteraan saudara Rapahi sekeluarga telah berlangsung dengan jayanya malam tadi. Majlis dipimpin oleh Imam Mat Jalin Hj Saramalaih, Imam Daerah Beaufort.

Dalam majlis ini juga, Kumpulan Marhaban Kg Gadong telah menyampaikan sumbangan kepada Saudara Rapahi. Turut hadir dalam majlis ini Saudara Malik Hj Jahari, Pengerusi Surau, Saudara Samlih Juaisin dan beberapa orang ahli kumpulan Marhaban.

Diucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Semoga diberkati Allah hendaknya.

Isnin, Oktober 04, 2010

Doa Selamat Untuk Rapahi Sekeluarga...

( Gambar Blog Datuk Sapawi Ahmad )


Pihak Surau Silaun akan mengadakan Majlis Doa Selamat pada malam Jumaat ini, 7hb Oktober selepas solat Maghrib. Majlis ini diadakan sebagai tanda sokongan kepada Saudara Rapahi Hj Edris dan keluarga yang kebakaran rumah beberapa hari lalu.

Kutipan derma juga akan diadakan pada majlis tersebut untuk diserahkan kepada mangsa. Mohon jasa baik jemaah untuk hadir dan turut serta dalam majlis ini.

Rabu, September 29, 2010

Rayuan Derma...


Salam,

Pihak Jawatankuasa Surau bersetuju melancarkan kutipan derma. Objektif utama kutipan derma ini ialah untuk merealisasikan cadangan pemasangan jubin dan kerja berkaitan di surau ini.

Sehubungan itu, pihak Jawatankuasa berbesar hati memohon derma ikhlas daripada Tuan/Puan/Saudara/Saudari para dermawan yang budiman.

Semoga Allah akan meredhai sumbangan ikhlas dan kerjasama Tuan/Puan/Saudara/Saudari dalam menjayakan hasrat yang mulia ini.

Sumbangan anda boleh disalurkan melalui akaun Public Bank, Beaufort 3984950127. Mohon dmaklum melalui sms sumbangan anda ke nombor 0198130444.


Rabu, September 08, 2010

Selamat Hari Raya...


Jawatankuasa SurauSilaun mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua jemaah dan penduduk Kg Silaun. Maaf zahir dan batin.

Didoakan semoga amalan mulia yang kita kerjakan sepanjang bulan Ramadhan ini akan berterusan pula selepas ini, dan didoakan amal baik kita selama ini dirahmati Allah hendaknya.

Selepas Hari Raya ini pelbagai acara akan disusun untuk dilaksanakan di SurauSilaun untuk kita jayakan bersama, Insya Allah.

Ahad, Ogos 29, 2010

Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin


GADONG (Beaufort): Imej Islam perlu dijaga dan dipelihara dalam menikmati kemajuan serta kecanggihan dunia pada ketika ini.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata ketika ini sudah ada segelintir umat Islam memperlihatkan kelakukan yang menjejaskan imej Islam.

“Antaranya makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan…mereka bukan sahaja tidak menghormati umat Islam yang berpuasa tetapi perlakukan mereka menjejaskan imej Islam di mata mereka yang bukan Islam.

“Mereka sepatutnya merasa malu…jika mereka yang bukan beragama Islam menghormati umat Islam yang berpuasa, mereka yang beragama Islam pula bertindak sebaliknya,” katanya pada program berbuka puasa di sini kelmarin.

Selain berbuka puasa, Sapawi turut menunaikan solat maghrib, isyak dan juga solat sunat terawih di masjid Gadong. Hadir sama termasuklah wakil rakyat Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Iman Daerah Beaufort Matjalin Sarmali, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah, Pengerusi Surau Kampung Silaun Malek Jari dan Ustaz Said Awang Damit.

Sapawi berkata umat Islam harus sedar bahawa mereka berdepan dengan cabaran getir pada abad ke-21.

Menurutnya musuh Islam sentiasa berusaha meruntuhkan akhlak umat Islam agar usaha mereka untuk memecahbelahkan umat Islam tercapai.

Katanya jika usaha itu Berjaya Islam sudah tentu menjadi lemah dan akhirnya mundur serta dapat dipergunakan.

“Dalam kita menikmati kemajuan dan kecanggihan dunia ketika ini, imej Islam amat perlu dipelihara dan dijaga…kita yangb beragama Islam seharusnya sedar bahawa kekuatan kita amat bergantung kepada akhlak,” katanya lagi dan menambah Ramadan yang menjanjikan pelbagai ganjaran seharusnya diperunakan dengan sebaik-baiknya.

Beliau juga menegaskan tentang peri pentingnya persefahaman dan semangat kerjasama di kalangan umat Islam.

Katanya usaha mencapai kecemerlangan memerlukan umat Islam untuk bekerjasama dan saling faham memahami.

“Kunci utama kejayaan kita ialah bersatu, saling bekerjasama dan bukannya berpecah dan saling bertelagah,” katanya.

Sumber: Datuk Sapawi Ahmad.blogspot.com

Selasa, Ogos 10, 2010

Salam Ramadhan 1431H...


Surau Silaun mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al-Mubarak kepada Jemaah Surau Silaun.

Didoakan semua jemaah dimurahkan rezeki, dilapangkan masa dan diberi kesihatan yang baik untuk kita terus menunaikan Solat Terawih dan Tadarus al-Quran sepanjang bulan ini.

Semoga semua jemaah diberkati Allah hendaknya, dirahmati Allah dengan berkat bulan mulia ini. Aktiviti Ihya Ramadhan kita pada tahun ini akan dilangsungkan seperti biasanya. Semua jemaah dijemput bersama!

*******************************************************************************

Sabtu, Disember 19, 2009

Hijrah diri untuk sentiasa berprestasi lebih baik


BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Maal Hijrah 1431H pada tahun ini dalam suasana tawaduk, kesederhanaan dan penuh kerahmatan.

Sambutan ini mempunyai keunikan dan signifikan besar kepada perjuangan dan perkembangan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke hari ini.

Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah adalah satu perancangan strategik yang dijana melalui pemikiran berasaskan daya kreativiti dan inovasi melalui penyuburan tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah’, sesebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

Khaira Ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan satu ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah SAW pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira keturunan, warna kulit dan kedudukan.

Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah.

Semangat Hijrah amat bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.

Gagasan ini berteraskan kepada nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ini bermakna kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Umumnya mengetahui bahawa kita sudah 52 tahun merdeka, cabaran paling besar yang dilihat sebagai penghalang kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian kaum adalah perpaduan. Ironinya, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara. Kejayaan tidak akan datang menggolek, sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian, sekarang kita melakukan hijrah ke satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

Ini bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.

Justeru, bersamalah kita bersatu hati dan bersatu tekad. Hijrahlah diri untuk sentiasa berprestasi lebih baik walau apa peranan kita sama ada sebagai pemimpin, kerajaan mahupun rakyat.

Namun apa yang penting, kita perlu terus mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif.

Formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep wasatiyah dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkonvensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru. Ia hanya boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan dari perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Saya dan keluarga merakamkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada.

Semoga kita dapat bersama-sama meraikan sambutan Maal Hijrah ini bersama rakan kita dari pelbagai agama dan bangsa melalui semangat Hijrah yang mengutuhkan perpaduan dan mengutamakan keadilan.

Jumaat, November 27, 2009

Salam Aidil Adha


Surau Silaun Mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidil Adha

Kepada Seluruh Muslimin & Muslimat!

Khamis, November 05, 2009

Ucapan Terima Kasih...

( Gambar Pembela Rakyat )

Surausilaun mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Sapawi Hj Ahmad MP Sipitang dan YB Kamarlin Ombi ADUN Lumadan yang berkesempatan singgah dan menziarahi dua orang jemaah surausilaun yang uzur dan sakit tua pada 1hb November lalu.


Dua jemaah terlibat ialah Tuan Haji Jahari Matahir, ayahanda Sdr. Malik Hj Jahari Pengerusi Surau Kg Silaun dan Tuan Haji Lukin Yusof. Kedua-dua jemaah ini adalah generasi awal penggerak Surau Kg Silaun.


Kunjungan kedua-dua wakil rakyat sebagai tanda keprihatinan kepada ahli masyarakat. Semoga kunjungan sebegini akan diteruskan.

Rabu, November 04, 2009

Ucapan Takziah...

Takziah diucapkan kepada keluarga jemaah surau, Tuan Haji Lukin Yusof - lebih dikenali Yaki Tukang - yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11:40 malam tadi, kerana sakit tua.

Jenazah allayarham akan dikebumikan selepas solat zuhur ini di Tanah Perkuburang Kg. Buang Sayang, Nosong.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan bersama para solehin. Amin.

Ahad, Oktober 18, 2009

Penentuan arah kiblat


Kaedah melihat matahari terbenam tidak tepat

SUDAH semestinya umat Islam perlu menghadap Kaabah yang menjadi kiblat apabila mendirikan solat dan ketika dikebumikan selepas meninggal dunia.

Walaupun dengan kedudukan Kaabah di Makkah menjangkau ratusan ribu kilometer, menetapkan arah kiblat sebenarnya tidak menjadi persoalan kerana ilmuwan Islam benar-benar menguasai ilmu falak untuk menyelesaikan masalah itu sekadar berpandukan kedudukan cakerawala seperti bintang dan matahari.

Bagaimanapun, kekurangan orang Islam yang benar-benar memahami ilmu falak ketika ini menimbulkan persoalan bagaimana untuk menentukan arah kiblat yang tepat.

Ini kerana, ada umat Islam masih menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah matahari terbenam, sedangkan cara itu tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada arah matahari terbenam.

Menyedari kesilapan itu, sewajarnya umat Islam di seluruh dunia tidak lagi menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam. Malaysia sudah tidak lagi menggunakan kaedah ini, sebaliknya berpandukan ilmu falak syarie seperti yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selanjutnya baca di sini, Berita Minggu.

Selasa, Oktober 06, 2009

Jumaat, September 25, 2009

Selasa, September 22, 2009

Salam Aidilfitri 1430H



Jawatankuasa dan ahli Jemaah Surau Kg. Silaun mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1430, Maaf zahir dan batin, semoga Syawal pada tahun ini kita semua dilimpahi rahmat dan keampunan daripada Allah s.w.t


Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, Jangan pula kita lupa tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah yang sudah semestinya memelihara setiap perintah Allah dan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Berikut adalah antara kesilapan yang sering dilakukan pada Hari Raya:

(a) MENINGGALKAN IBADAH SOLAT
kita sering meninggalkan solat kerana kesibukan beraya ataupun melayan tetamu. Aturlah masa dengan bijaksana agar setiap solat dapat dijaga.

(b) MEMBUKA BATASAN AURAT
Jangan kerana ingin bergaya, kita sanggup melanggar perintah Allah untuk menutup aurat dengan sempurna. Kadangkala fesyen telah menyebabkan kita sebagai pendosa.

(c) BERSALAMAN ANTARA BUKAN MAHRAM
Matlamat tidak menghalalkan cara, silaturahim perlu dieratkan namun hukum agama jangan pula diabaikan.

Semoga Hari Lebaran kali ini menjadikan kita lebih bertaqwa, hasil didikan madrasah Ramadhan yang telah dilalui. Kita teruskan amalan baik dan mulia dalam bulan Ramadhan lalu semasa meraikan Hari Raya ini!

Jumaat, Februari 06, 2009

BILA LELAKI MENJADI DAYUS ?

Al-hadith :


ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي

يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .


Ertinya : "Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )


Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-


1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.


2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.


3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.


4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.


5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.


6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.


7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.


8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.


9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.


10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan yang sepertinya.


11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.


12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.


13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.


14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.


Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.


Mungkin kita akan berkata dalam hati :-

" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.


Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.


Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.


Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.


Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya.


Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)


Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


p/s : Diizinkan pembaca menyebarkan tulisan ini sejauh mana yang mungkin demi manfaat para lelaki yang berhasrat menjadi penghuni Syurga.


Sabtu, Disember 27, 2008

~ SALAM HIJRAH 1430 ~


Dari Abdullah bin Amru r.a dari Nabi SAW bersabda:

"Dan orang yang berhijrah itu adalah barangsiapa yang berhijrah dari apa yang dilarang oleh Allah SWT."

Semoga tahun 1430 ini menjadi titik permulaan lembaran baru dalam menjalankan islah pada setiap aspek kehidupan kita.

Selasa, Oktober 14, 2008

~ AMALAN ZIARAH KUBUR ~

Ziarah kubur merupakan perkara yang disyariatkan dalam agama kita dengan tujuan agar orang yang melakukannya dapat mengambil pengajaran dan dapat mengingat akhirat.

Namun berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri merupakan larangan dalam Islam. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin).

Persoalannya ?

Takkan baca yasin berdiri pulak. . . kan letih . .


Jawapannya :

Kubur bukan tempat baca Yasin. . boleh baca yasin di rumah, di kubur hanya sekadar ziarah sekejap dan berdoa ringkas. . . sudah cukup.

ADAB ZIARAH KUBUR BAGI WANITA :

- Tidak selalu (kerap)
- Tanpa bertabaruj (berhias)
- Tidak meratap atau menjerit
- Menunaikan adab wanita Muslimah
- Mengambil pelajaran untuk mengingat akhirat

_

Ahad, Oktober 05, 2008