Sabtu, Disember 27, 2008

~ SALAM HIJRAH 1430 ~


Dari Abdullah bin Amru r.a dari Nabi SAW bersabda:

"Dan orang yang berhijrah itu adalah barangsiapa yang berhijrah dari apa yang dilarang oleh Allah SWT."

Semoga tahun 1430 ini menjadi titik permulaan lembaran baru dalam menjalankan islah pada setiap aspek kehidupan kita.

Selasa, Oktober 14, 2008

~ AMALAN ZIARAH KUBUR ~

Ziarah kubur merupakan perkara yang disyariatkan dalam agama kita dengan tujuan agar orang yang melakukannya dapat mengambil pengajaran dan dapat mengingat akhirat.

Namun berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri merupakan larangan dalam Islam. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin).

Persoalannya ?

Takkan baca yasin berdiri pulak. . . kan letih . .


Jawapannya :

Kubur bukan tempat baca Yasin. . boleh baca yasin di rumah, di kubur hanya sekadar ziarah sekejap dan berdoa ringkas. . . sudah cukup.

ADAB ZIARAH KUBUR BAGI WANITA :

- Tidak selalu (kerap)
- Tanpa bertabaruj (berhias)
- Tidak meratap atau menjerit
- Menunaikan adab wanita Muslimah
- Mengambil pelajaran untuk mengingat akhirat

_

Ahad, Oktober 05, 2008

Jumaat, September 26, 2008

~ SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ~

Jawatankuasa dan ahli Jemaah Surau Kg. Silaun mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1429, Maaf zahir dan batin, semoga Syawal pada tahun ini kita semua dilimpahi rahmat dan keampunan daripada Allah s.w.t

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, Jangan pula kita lupa tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah yang sudah semestinya memelihara setiap perintah Allah dan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Berikut adalah antara kesilapan yang sering dilakukan pada Hari Raya:

(a) MENINGGALKAN IBADAH SOLAT
kita sering meninggalkan solat kerana kesibukan beraya ataupun melayan tetamu. Aturlah masa dengan bijaksana agar setiap solat dapat dijaga.

(b) MEMBUKA BATASAN AURAT
Jangan kerana ingin bergaya, kita sanggup melanggar perintah Allah untuk menutup aurat dengan sempurna. Kadangkala fesyen telah menyebabkan kita sebagai pendosa.

(c) BERSALAMAN ANTARA BUKAN MAHRAM
Matlamat tidak menghalalkan cara, silaturahim perlu dieratkan namun hukum agama jangan pula diabaikan.

KEJAYAAN SETIAP INSAN HANYALAH DALAM MENTAATI SETIAP PERINTAH ALLAH DAN MENGIKUTI SUNNAH RASULULLAH S.A.W
_

Sabtu, Ogos 30, 2008

~ RAMADHAN AL-MUBARAK 1429 ~

JADUAL JAMUAN RAMADHAN SURAU SILAUN


~ PROGRAM IHYA RAMADHAN ~

BERIKUT ADALAH SENARAI PROGRAM YANG AKAN DIADAKAN DI SURAU SILAUN SEPANJANG BULAN RAMADHAN 1929 INI:


# SOLAT SUNAT TARAWIH

Ditunaikan Selepas Solat Isya' pada setiap malam Ramadhan

# MAJLIS TADARUS AL-QURAN

Dimulakan Selepas Solat tarawih pada setiap malam Ramadhan

# I'TIKAF 10 MALAM AKHIR RAMADHAN

diadakan pada 10 malam akhir Ramadhan

SEMUA JEMAAH DIJEMPUT UNTUK MENGAMBIL BAHAGIAN.

_

Khamis, Mei 01, 2008

~ 10 FATWA-FATWA IMAM SYAFI’I YANG PERLU DIKETAHUI ~

Ramai yang mengaku bermazhab Syafi’e dan mengakui mengikuti serta mempraktikkan Islam berdasarkan istinbat hukum oleh imam asy-Syafi’i. Namun, hakikatnya, ramai yang keliru kerana banyak fatwa-fatwa imam asy-Syafi’i yang tidak kita ketahui malah kita mengabaikannya. Padahal semua fatwa-fatwa itu adalah sangat penting dan berkaitan sekitar isu aqidah dan persoalan i’tiqad. Dengan itu, sama-sama lah kita teliti semula beberapa fatwa-fatwa beliau tersebut dan sama-sama kita muhasabah diri.

Fatwa-fatwa ini hanyalah sebahagian kecil dari sejumlah fatwa atau pendapat imam asy-Syafi’i sahaja. Ianya diambil daripada buku/kitab berjudul “Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah”, karya/susunan Dr. Muhammad bin Abdil-Wahab al-’Aqil.

Sama-sama kita teliti,

1 – MERATAKAN KUBURAN

Imam asy-Syafi’e rahimahullah menyatakan:

“Saya suka kalau tanah kuburan itu tidak ditinggikan dan selainnya dan tidak mengambil padanya dan tanah yang lain. Tidak boleh, apabila ditambah tanah dan lainnya menjadi tinggi sekali, dan tidak mengapa jika ditambah sedikit saja sekitar. Saya hanya menyukai ditinggikan (kuburan) di atas tanah satu jengkal atau sekitar itu dari permukaan tanah”. (Syarah Muslim 2/666, Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/257)

2 – HUKUM MEMBANGUNKAN BANGUNAN/BINAAN DI KUBURAN

“Saya suka bila (kuburan) tidak dibuat binaan dan bangunan, kerana itu menyerupai penghiasan dan kesombongan, dan kematian bukan tempat bagi salah satu dari keduanya. Dan saya tidak melihat kuburan para sahabat Muhajirin dan Anshar didirikan sebarang binaan. Seorang perawi menyatakan dari Thawus, bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang kuburan dibinakan binaan atau ditembok. Saya sendiri melihat sebahagian penguasa di Makkah menghancurkan semua bangunan di atasnya (kuburan), dan saya tidak melihat para ahli fikih mencela hal tersebut. (al-Umm 1/277. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/258)

3 – HUKUM MEMBINA MASJID DI TEMPAT YANG ADA KUBUR

“Saya melarang dibinakan masjid di atas kuburan dan disejajarkan atau dipergunakan untuk solat di atasnya dalam keadaan tidak rata atau solat menghadap kuburan. Apabila ia solat menghadap kuburan, maka masih sah namun telah berbuat dosa”. (al-Umm 1/278. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/261)

4 – PERSOALAN FITNAH KUBUR

“Sesungguhnya Azab kubur itu benar dan pertanyaan malaikat terhadap ahli kubur adalah benar.” (al-I’tiqad karya Imam al-Baihaqiy. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/420)

5 – PERSOALAN HISAB, SYURGA, DAN NERAKA

“Hari kebangkitan adalah benar, hisab adalah benar, syurga dan neraka serta selainnya yang sudah dijelaskan dalam sunnah-sunnah (hadis-hadis), lalu ada pada lisan-lisan para ulama dan pengikut mereka di negara-negara muslimin adalah benar.” (Manaqib asy-Syafi’i, karya Imam al-Baihaqiy, 1/415. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/426)

6 – BERSUMPAH DENGAN NAMA SELAIN NAMA ALLAH

“Semua orang yang bersumpah dengan nama selain Allah, maka saya melarangnya dan mengkhuwatirkan pelakunya, sehingga sumpahnya itu adalah kemaksiatan. Saya juga membenci bersumpah dengan nama Allah dalam semua keadaan, kecuali hal itu adalah ketaatan kepada Allah, seperti berbai’at untuk berjihad dan yang serupa dengannya.” (al-Umm 7/61. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/271)

7 – PERNYATAAN TENTANG SYAFA’AT


“Beliau (Rasulullah s.a.w.) adalah manusia terbaik yang dipilih Allah untuk menyampaikan wahyu-Nya lagi terpilih sebagai Rasul-Nya dan yang diutamakan atas seluruh makhluk dengan membuka rahmat-Nya, penutup kenabian, dan lebih menyeluruh dan ajaran para rasul sebelumnya. Beliau ditinggikan namanya di dunia dan menjadi pemberi syafa’at, yang syafa’atnya dikabulkan di akhirat.” (ar-Risalah 12-13. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/291)

Beliau juga menyatakan tentang syarat diterimanya syafa’at:

“Semalam saya mengambil faidah (istimbath) dari dua ayat yang membuat saya tidak tertarik kepada dunia dan yang sebelumnya. Firman Allah: “...Dia bersemayam di atas ‘Arsy (singgasana) untuk mengatur segala urusan. Tiada seorang pun yang akan memberi syafa’at kecuali sesudah ada keizinan-Nya....” (Surah Yunus, 1O: 3). Dan dalam kitabullah, hal ini banyak: “Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya?” (Surah al-Baqarah, 2: 256) Syafa’at tertolak kecuali dengan izin Allah.” (Ahkamul Qur’an 2/180-181. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/291)

8 – PENDIRIAN BERKENAAN ASMA’ WA SIFAT ALLAH

Imam Syafi’e rahimahullah menjelaskan melalui riwayat yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu:

"Bagi-Nya dua tangan sebagaimana firman-Nya: (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka. Bagi-Nya tangan sebagaimana firman-Nya: Langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Allah mempunyai wajah sebagaimana firman-Nya: Setiap sesuatu akan binasa kecuali Wajah-Nya. Baginya kaki sebagaimana sabda Nabi saw: Sehinggalah Dia meletakkan wajah dan KakiNya. Dia mempunyai jari sebagaimana sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam: Tiadalah hati itu kecuali antara jari-jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah). Kami menetapkan sifat-sifat ini dan menafikan dari menyerupakan sebagaimana dinafikan sendiri oleh Allah sebagaimana difirmankan: (Tiada sesuatu yang semisal dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat)". (Lihat: I’tiqad Aimmah al-Arba'ah Abi Hanifah wa Malik wa Syafi’e wa Ahmad, m/s. 46- 47, Cetakan pertama, 1412 -1992M. Darul 'Asimah Saudi Arabia)

Imam Syafi’e seterusnya menjelaskan:

"Dan Allah Ta'ala di atas 'Arasy-Nya (Dan 'Arasy-Nya) di langit”. (Lihat: I’tiqad Aimmah al-Arba'ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, m/s. 40)

Imam Syafi’e seterusnya menjelaskan lagi:

"Kita menetapkan sifat-sifat (mengithbatkan sifat-sifat Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh al-Quran dan yang warid tentangNya dari sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentangNya kerana dinafikan oleh diriNya sendiri sebagaimana firmanNya (Tiada sesuatu yang semisal denganNya)". (Lihat: I’tiqad Aimmah al-Arba'ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, m/s. 42)

Imam Syafi’e telah menjelaskan juga tentang turun naiknya Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

"Sesungguhnya Dia turun setiap malam ke langit dunia (sebagaimana) menurut khabar dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam". (Lihat: I’tiqad Aimmah al-Arba'ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, m/s. 47)

Berkata Imam Syafi’e rahimahullah:

"Sesungguhnya Allah di atas ‘Arasy-Nya dan ‘Arasy-Nya di atas langit" (Lihat: Iktiqad Aimmah al-Arba'ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa- Ahmad. Hlm. 179)

Ibnu Taimiyah, Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Syafi’e ada kesepakatannya dalam meyakini tentang turun-naiknya Allah iaitu berlandaskan hadis:

"Tuhan kita turun ke langit dunia pada setiap malam apabila sampai ke satu pertiga dari akhir malam, maka Ia berfirman: Sesiapa yang berdoa akan Aku perkenankan, sesiapa yang meminta akan Aku tunaikan dan sesiapa yang meminta keampunan akan Aku ampunkan". (H/R Bukhari (1141), Muslim (758), Abu Daud (4733), Turmizi (4393), Ibn Majah (1366) dan Ahmad (1/346))

9 – SIKAP IMAM ASY-SYAFI’E TERHADAP SYI’AH

Dari Yunus bin Abdila’la, beliau berkata: Saya telah mendengar asy-Syafi’i, apabila disebut nama Syi’ah Rafidhah, maka ia mencelanya dengan sangat keras, dan berkata: “Kelompok terjelek! (terhodoh)”. (al-Manaqib, karya al-Baihaqiy, 1/468. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/486)

“Saya belum melihat seorang pun yang paling banyak bersaksi/bersumpah palsu (berdusta) dari Syi’ah Rafidhah.” (Adabus Syafi’i, m/s. 187, al-Manaqib karya al-Baihaqiy, 1/468 dan Sunan al-Kubra, 10/208. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/486)

“asy-Syafi’i berkata tentang seorang Syi’ah Rafidhah yang ikut berperang: “Tidak diberi sedikit pun dari harta rampasan perang, kerana Allah menyampaikan ayat fa’i (harta rampasan perang), kemudian menyatakan: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami”. (Surah al-Hasyr, 59: 10) maka barang siapa yang tidak menyatakan demikian, tentunya tidak berhak (mendapatkan bahagian fa’i).” (at-Thabaqat, 2/117. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/487)

10 – SIKAP IMAM ASY-SYAFI’E TERHADAP KAUM (ORANG-ORANG) SUFI

“Seandainya seorang menjadi sufi (bertasawwuf) di pagi hari, niscaya sebelum datang waktu Zuhur, engkau tidak dapati ia, melainkan telah menjadi orang bodoh.” (al-Manaqib lil Baihaqiy, 2/207. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/503)

“Tidaklah seorang sufi menjadi sufi, hingga memiliki empat sifat: malas, suka makan, sering merasa sial, dan banyak berbuat sia-sia.” (Manaqib lil Baihaqiy, 2/207. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/504)

“Asas tasawwuf adalah kemalasan.” (al-Hilyah 9/136-137. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/504)

~ Saf Di Dalam Solat ~

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sempurnakanlah saf pertama, kemudian saf berikutnya. Jika kurang (saf pertama telah penuh/tidak mencukupi), maka hendaklah ia mengambil saf yang belakang.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i, 2/93)

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul

1 – Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadis berikut:

“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Kitab Azan, no. 76. Abu Daud, no. 616)

2 – Meratakan/meluruskan telapak kaki dengan talapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.

“Dari Anas bin Malik r.a. berkata, “(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 725)

“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud) Baginda s.a.w. mengarahkan jari jemari kakinya ke arah kiblat. (Rujuk: Tuntutan Rasulullah Dalam Ibadah, hlm. 19. Ibn Qaiyyim al-Jauziyah – Dinukil dari buku: Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri)



Betul - Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)



Salah - Kaki tidak lurus ke hadapan

3 – Menutup ruang/celahan di antara saf.

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97. Juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud, 1/197) Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 667. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/198)

4 – Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang baik/betul.

Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)



Keudukan/susunan Saf Yang Betul Dan Rapi

~ Solat Tahiyatul Masjid ~

Hukum Solat Tahiyatul Masjid

“Jika salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Solat, no. 444. Muslim, Kitab Musafir & Qasarnya, no. 714)

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: “Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Beliau s.a.w. pun berkata kepadanya:

“Wahai Sulaik, berdiri dan ruku’lah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jumu’ah, no. 930)

Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan, “Jika salah seorang di antara kamu memasuki masjid, hendaklah dia tidak duduk hingga mengerjakan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, no. 1163)

Bentuk perintah dalam hadis-hadis tersebut secara zahirnya menunjukkan wajib, dan larangan meninggalkannya apabila memasuki masjid. Jumhur ulama, termasuk Ibnu Hazm, berpendapat bahawa perintah dalam hadis tersebut dipalingkan kepada hukum anjuran, berdasarkan sejumlah dalil.

Menurut Dr. Sa’id Wahf al-Qahthani, “Yang paling tepat adalah sunnah mu’akkad, demikian itu pendapat jumhur.” (Ensiklopedi Solat, jil. 1, 513)

Imam Nawawi rahimahullah menyatakan: “Di dalamnya terkandung pengertian disunnahkan melaksanakannya, yang ia bersifat sunnah menurut kesepakatan kaum muslimin. Di dalamnya juga terkandung pengertian disunnahkan memberi penghormatan (Tahiyat) kepada masjid setiap kali memasukinya.” (Syarhun Nawawi ‘alaa Shahih Muslim, 5/233)

Masuk Masjid Ketika Iqamah Solat Sudah/Sedang Dikumandangkan

Jika seseorang memasuki masjid ketika iqamah solat sedang atau sudah dikumandangkan, hendaklah dia masuk menyertai solat yang sedang didirikan itu kerana telah gugur baginya solat Tahiyatul Masjid dua rakaat.

Hal ini adalah berdasarkan hadis berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi, kecuali solat wajib.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Musafir & Qasarnya, no. 710)

Memasuki Masjid Ketika Imam/Khatib Berkhutbah

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: “Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Beliau s.a.w. pun berkata kepadanya:

“Wahai Sulaik, berdiri dan ruku’lah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jumu’ah, no. 930)

Berdasarkan hadis ini, jika seorang muslim memasuki masjid ketika imam sedang menyampaikan khutbah Jumaat, hendaklah dia tidak duduk sebelum mengerjakan solat Tahiyatul Masjid dua rakaat dengan meringankannya.

Selasa, Februari 12, 2008

~HUKUM JANGGUT & MISAI ~

Telah menjadi budaya masyarakat kini iaitu mencukur janggut dan memanjangkan misai, sedangkan tuntutan agama adalah sebaliknya. Sunnah Rasulullah S.A.W adalah dengan memanjangkan janggut dan menipiskan misai. Namun kerana pengaruh persekitaran dan trend masa kini ramai yang mengabaikan panduan ini.

Janganlah khuatir, berjanggut tidak akan menghalang untuk mencapai dan memperolehi kemajuan yang diimpi dan dicita-citakan. Sama ada kemajuan duniawi atau ukhrawi walaupun ada yang menggambarkan berjanggut simbol kekolotan, selekeh, tidak smart dan pelbagai lagi sangkaan negatif. Semua sangkaan seperti ini tidak benar kerana berfikiran sebegini dalam hal agama lebih buruk dari sangkaan jahiliyah.

Berjanggut adalah perintah Allah. Bukan gaya fesyen atau adat orang Arab, bukan kerana tidak ada pisau cukur, malas bercukur atau kerana sebab-sebab yang lain. Secara fitrah, semua orang-orang lelaki lazimnya berjanggut dan tidak pula berlaku kepada perempuan, oleh kerana itu hukum kewajipan berjanggut hanya diwajibkan kepada lelaki sahaja.

Terdapat banyak hadis-hadis sahih dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang menunjukkan wajibnya memelihara janggut dan jambang. Memerintahkan agar orang-orang lelaki beriman supaya memotong atau menipiskan misai mereka. Adapun pengharaman dari mencukur atau memotong janggut ialah sabda Rasulullah:

"Abdullah bin Umar berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai (kumis) kamu". (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Al-Baihaqi)

"Dari Abi Imamah: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Potonglah misai kamu dan peliharalah janggut kamu, tinggalkan (jangan meniru) Ahl al-Kitab". (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Thabrani. Hadis sahih)

"Dari ‘Aisyah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Sepuluh perkara dari fitrah (dari sunnah nabi-nabi) di antaranya ialah mencukur misai dan memelihara janggut". (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, Turmizi, An-Nasaii dan Ibn Majah)


selain itu terdapat beberapa kelebihan berjanggut dari segi psikologi iaitu menonjolkan karisma diri, lebih matang, berpendirian.

Jumaat, Januari 18, 2008

<< HARI 'ASYURA - 19 JAN 2008


Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu 10 Muharram.

Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.

Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura:

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri
2. Memuliakan fakir miskin
3. Menahan marah
4. Menunjukkan orang sesat
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
6. Bersedekah
7. Memelihara kehormatan diri
8. Mandi Sunat
9. Bercelak
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
11. Sembahyang sunat empat rakaat
12. Menjamu orang berbuka puasa
13. Puasa:

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (HR:Bukhari & Muslim)

_

Khamis, Januari 03, 2008

~TAHUN HIJRAH 1429~

Muharram (محرّم) adalah bulan pertama mengikut perkiraan sistem Takwim Hijrah. Awal Muharam tahun 1429 akan jatuh pada waktu maghrib 9 januari 2008.



Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya. Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Bermula daripada peristiwa berikut saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar’ie.

Mengenai amalan membaca do'a awal tahun hijrah itu seperti yang dijelaskan oleh muhaddith , tidak berasal dari Nabi s.a.w. kerana kalendar Hijrah digunapakai di zaman Umar alKhattab. Sambutan tahun baru adalah sunnah farsi (hari nauruz), sunnah rumawi (new year), Cina (chinese new year) dan Islam tidak mensyari'atkannya. Namun tisak salah untuk membuat azam baru dan berdoa agar tahun 1429 nanti akan lebih baik dari 1428 dari segi duniawi dan ukhrawi.

Antara amalan-amalan sunat dalam bulan Muharram ialah memperbanyakkan puasa dan berpuasa pada hari asyura serta tasu’a.

Semoga Tahun 1429 yang mendatang akan menambahkan penghampiran diri kita kepada ALLAH S.W.T. dan semakin banyak sunnah RASULULLAH S.A.W yang menjadi amalan hidup kita.

"Guard your tongue, Stay at your home, weep over your sins" (al-hadith)