Sabtu, Disember 19, 2009

Hijrah diri untuk sentiasa berprestasi lebih baik


BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Maal Hijrah 1431H pada tahun ini dalam suasana tawaduk, kesederhanaan dan penuh kerahmatan.

Sambutan ini mempunyai keunikan dan signifikan besar kepada perjuangan dan perkembangan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke hari ini.

Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah adalah satu perancangan strategik yang dijana melalui pemikiran berasaskan daya kreativiti dan inovasi melalui penyuburan tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah’, sesebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

Khaira Ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan satu ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah SAW pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira keturunan, warna kulit dan kedudukan.

Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah.

Semangat Hijrah amat bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.

Gagasan ini berteraskan kepada nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ini bermakna kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Umumnya mengetahui bahawa kita sudah 52 tahun merdeka, cabaran paling besar yang dilihat sebagai penghalang kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian kaum adalah perpaduan. Ironinya, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara. Kejayaan tidak akan datang menggolek, sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian, sekarang kita melakukan hijrah ke satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

Ini bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.

Justeru, bersamalah kita bersatu hati dan bersatu tekad. Hijrahlah diri untuk sentiasa berprestasi lebih baik walau apa peranan kita sama ada sebagai pemimpin, kerajaan mahupun rakyat.

Namun apa yang penting, kita perlu terus mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif.

Formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep wasatiyah dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkonvensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru. Ia hanya boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan dari perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Saya dan keluarga merakamkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada.

Semoga kita dapat bersama-sama meraikan sambutan Maal Hijrah ini bersama rakan kita dari pelbagai agama dan bangsa melalui semangat Hijrah yang mengutuhkan perpaduan dan mengutamakan keadilan.